Day 22: Kalau

To - mjejun


Berapa ke-juta kalinya nak dipesan?
Aku memesan ini bukan pada angin
Sama sekali tidak pada ombak di kaki pantai
Jelaan pesanan itu buat kau
Ya, buat kau yang remuk-redam katanya
Jadi, dengar baik-baik ini sekali lagi aku titipkan

Kalau jatuh, jangan diharap sebarang kasihan belas
Bangun juga sendiri kalau pun sukar
Kalau sakit, tak perlu merintih menagih simpati
Ubati sendiri sampai sembuh lukanya
Kalau lelah, pastikan kau tahu bezanya dengan mengalah
Agar kau terus melangkah walau terasa payah
Dan...
Kalau sunyi itu terlalu menggila, usah kau mengeluh menanti teman
Mungkin ianya apa yang kau perlu untuk merasa damai

Kerana...semuanya tentang kau
Kau terutama penting daripada apa jua kata mereka
Kerana kau takkan punya sesiapa selagi kau tak punya kau.


Khamis (11/12/2014@22:36)
-Inawza Yusof

Day 21: Malam

Malam itu terkadang angkuh lagaknya
Bangga mencakar ruang dengan pekatnya gelita
Berdabik bilamana sunyi mendengungkan telinga
Katanya pada awan yang gelisah dihambat angin
Biarkan saja sang rembulan itu mengeluh lelah
Pabila cahaya lesunya kau selimut erat
Jangan juga kau pedulikan rintihannya bila renyai jatuh menimpa

Katanya lagi pada larikan mendung di dada kelam
Sampaikan bicara ini pada polosnya rembulan
Aku malam nan gagah
Kegelapan aku itu hakiki dan kau cuma menemani
Maka tinggalkan terus aku yang teradun begini
Usah didera jasad kusamku dengan bayangan siang
Untuk apa serakan itu jikalau tak sentiasa ada?


Rabu (10/12/2014 @ 0246)
-Inawza Yusof

Day 20: Engkau

Engkau 
Si pemuja sekeping hati tak bernama
Kemarilah dan ajari aku tentang cinta 
Mampirlah dan bawa aku berdansa
Dalam alunan bicara buat aku satu-satunya
Biar jasad ini hanyut dalam gemalainya kata
Sampai akal tak lagi berkuasa 
Dan mahunya...engkau sorang saja

Engkau 
Si pengejar sekeping hati tak bertanda
Pasakkan dadaku dengan bunga-bunga rasa
Benarkan aku semula percaya
Biar mampu diperjudikan hati, jiwa, segala
Pabila degupan dalam sana aku benarkan senada
Dengan satu nama dan satu nama cuma
Kerna hanya engkau yang berhak menerima
Seluruh aku yang tak seberapa.




Isnin (1/12/2014@2341)
-Inawza Yusof

Day 19: Setia

Pusing, pening
Bila
Yang dibilang-bilang
Yang dicanang-canang
Yang diulang-ulang
Suatu hari dulu juga masa sekarang
Langsung tak sama

 Kau dah kenapa? 
Lain kali jadi manusia
Mohon jadi yang setia dengan kata. 


Selasa (25/11/2014@0105)
-Inawza Yusof

Day 18: Jiwa

Tak perlu beriya tahu segala
Kalau hanya berlandas dongeng dijaja
Kerana setiapnya punya jiwa
Bernyawa, bernada, ber-cerita
Bukan semata kerja
Yang bisa dijelaskan guna sarjana segala
Apa kau fikir seluruh yang hancur berderai itu
ibarat bunga?
Bila disiram, dibaja...bakal tumbuh semula?

Duhai si bijaksana
Sudah dikata sudah
Kerana setiapnya punya jiwa
Maka kau perlu merasa
Tanggalkan jaket tersarung angkuh
bersulam segala macam analisa
Lihatlah dunia dari mata mereka yang merasa

Dan kau bakal nampak
Isi pemunya jiwa
Yang tak perlu diselamatkan
Yang tak boleh diselamatkan.



 Selasa (25/11/2014@0052)
- Inawza Yusof

Day 17: Zahir

Dasar manusia
Yang lantang bersuara dipuja
Yang beku membisu dilupa
Yang berkata itu fakta
Yang diam itu dusta

Lucu kau manusia
Selalu nampak yang nyata cuma
Yang tersirat tersembunyi
Katanya tak payah peduli
Sebab dia tak berbunyi
Mungkin dia tak ada hati


Isnin (24/11/2014@0959)
-Inawza Yusof

Day 16: Lemas

Aku lemas
Selalu
Sentiasa
Hanyut
Tenggelam
Meski dalam benderangnya malam
Walau dalam sunyinya diam
Biar dalam nyamannya tenang
Lemas yang bikin aku lelah
Betapa aku cuba bebas
Tapi mana mungkin aku bisa lepas
Dari graviti aku sendiri
Dan tanpa memahami
Mereka gelarnya dengan nama fancy
Mereka bilang itu depresi
Dan depresi itu aku. 



Khamis (13/11/2014@1639)
-Inawza Yusof

Day 15: Konkrit

Hei kau tepi aku tu
Kau tengok luar aku 
Dan kau kata aku kebal
Kau tenung lama-lama biar sampai buta
Kau tetap akan nampak aku kental
Sebab aku simpan semua dalam sana
Kunci rapat-rapat dari kau dan dunia
Kemudian aku timbus dengan konkrit salut bahagia
Agar tak ada yang jangka 
kewujudan bahagian aku yang satu tu
Bahagian yang separuh mati bertahan
Yang dekorasinya parut-parut lama 
juga torehan masih berdarah
Bukti aku cuba untuk terus berdiri
Demi nyawa yang masih berbaki.




Khamis (13/11/2014@1125)
-Inawza Yusof

Day 14: Empunya

Itu hati itu
Yang sudah aku bagi dulu kelmarin kini
Tadi pagi menari-nari
Bersama denyutan halus nadi yang lagak memahami
Dalam sebait pesanan yang buat aku terbuai
Dia itu bukan pemuisi
Rangkaian itu juga tiada berseni
Tapi semata hati yang sudah mengerti
empunyanya itu siapa
Meski sebaris kata dogol
Sudah buat dunia keliling aku
riang bernyanyi



Jumaat (07/11/2014@1046)
-Inawza Yusof

Day 13: Nyawa

Mungkin sungguh aku gila
Bilamana dunia yang ada 
Gelita sini sana
Bilamana rasa yang nyata
Tak sesakit yang dalam sana
Dan jalan depan mata
Hanya nak lenyap selamanya 
Merah itu merah dan merah itu bahagia
Mungkin benar aku gila
Atau semata perlukan masa
Masa yang tak pernah setia untuk ada
Mungkin sampai aku tak nampak aku dan aku tak ada
 Ah mungkin...
Ini bukan tentang asa, bukan juga tentang redha
Ini tentang aku yang kadang penat jadi aku
Bernyawa tapi tak hidup.





Sabtu (30/08/2014@1026)
-Inawza Yusof





Day 12: Buta

Suatu hari
Kau ada dunia
Sebuah cerita penuh warna
Ada dia ada mereka ada semua
Sampai kau rasa benar sempurna

Suatu hari
Kau hilang segala
Sekelip mata kau umpama buta
Sampai kau lebih tertanya
Siapa yang kau ada
Bukan apa yang kau ada.


Isnin (02/06/2014@2322)
-Inawza Yusof


Day 11: Situ

Untuk orang dalam hati itu
Jangan pernah kau ragu 
Jangan kau fikir yang tak perlu
Ceritera hidup memang begitu
Penghujungnya kau takkan pernah tahu
Tapi kalau itu jalan yang satu
Benarkanlah hati dengan niat yang jitu

Untuk orang dalam hati itu
Tak semua kau mahu seperti yang ditentu
Tapi janganlah kau keliru 
meskipun langkahnya bercelaru
Dan kau perlu tahu
Sentiasa dia ada menunggu di situ. 




Jumaat (25/04/2014 @ 2140)
-Inawza Yusof

Day 9: Ada

Benar aku cuba
Sungguh
Tapi semakin dicuba
Semakin tak kena di jiwa
Lagi dicuba
Bertambah kerdil rasanya

Kau tahu cuba apa? 
Cuba sekurangnya jadi biasa 
Di tengah manusia luar biasa
Supaya ada di mata

Ah, susah
Setiap kali mencuba
Hilang sepertinya cebis yang buat aku...aku!
Semangat dah lesap ke mana
Semata tinggal jasad dan nyawa
Kalau terus dibiar nanti apa yang ada?
 
Ah, sudah
Tak perlu lagi dicuba
Terus saja kekal aku
Rumit jadi manusia ada 
Biar mereka tak nampak tak apa
Asal aku tahu aku ada. 




Rabu ( 26/02/2014 @ 1200 )
- Inawza Yusof

Day 8: Maaf

Kau tahu harga satu maaf?
Kau tahu?

Lantang sungguh kau berkata,
Sewenangnya saja kau bicara,
Baik ke mana buruk lebihnya,

Kau tahu nilai sebuah maaf?
Kau tahu?

Hatinya kau injak,
Rasanya kau pijak,
Dan kau kata
Tak apa, maaf itu sentiasa ada,

Sayangnya...
Mungkin kau lupa,
Maaf itu ada harganya,
Maaf itu besar nilainya,

Sekali dia kau hancurkan,
Selamanya dia tak lupa,

Dan tika itu,
Tiada lagi senjata yang kau ada,
Selain alasan yang tak berguna,
Kerana kau tak pernah peduli untuk tahu,
Apa 'maaf' itu sebenarnya. 






Sunday ( 05/07/2014 @ 0406)
-Inawza Yusof