Day 28: Kalah

Ditoreh-toreh
Dihentak-hentak
Dihiris ditikam
Sampai tersembam
Sampai tersungkur
Berdarah luka hancur
Dalam sakit 
Dalam pedih
Tetap digagah dipaksa berdiri 
Kadang aku tertanya manusia lain itu buatan apa? 
Kadang aku terfikir limitnya kalian itu setinggi mana? 
Sehingga bila mampu ditadah 
Pura keras teguh
Sedang hati dah lelah
Dah parah 

Sebab aku...
Dah lama kalah
Dah lama mati.



Tuesday (21/4/2015@1656)
-Inawza Yusof

Day 27: Bodoh

Damping ruang rasanya
Biar dia tergoda pada liuk sebuah kata
Agar dia terpukau pada indah taburan janji
Sampai hembusan jasadnya mampu kau genggam
Lalu kemudian
Henyakkan rakus semua kata segala janji
Biar tertusuk luluh pada hati dengan dinginnya hilang
Supaya dia terasa siang itu gelita
Supaya dia mengerti bahagia itu dusta
Dan kepada dia yang tersungkur itu kau katakan
Apa ada pada kata pada janji
Semata libur si pemain yang riang merai luka
Jikalau kau terbuai pada nyanyian kosong angin
Yang puputnya tak tentu
Maka kau berhak menerima apa yang kau terima
Kerana bodoh memberi percaya.








Ahad (19/4/2015 @ 1059)
- Inawza Yusof

Day 26: Bebas

Mahuku bila dibuka mulut - jeritnya kuat
Tapi sayang...cuma kosong

Inginku bila melangkah - kakinya bebas
Tapi angan...tetap terkongkong

Harapku bila dibuka mata - wujudnya tenang
Tapi lelah...segala berantakan

Bersuara tapi tanpa kata
Berteriak tapi tenggelam bisu

Aku ini hanya jasad bernyawa
Seluruh lain terjajah, terbelenggu
Kerana manusia millenium
Bebasnya semata pada nama.




Ahad (22/03/2015 @ 1631)
-Inawza Yusof


Day 25: Hilang



Lari...lari daripada semua yang ada
Mereka! Dunia! Aku!
Lari sampai mana kamu mampu
Lari sampai di keliling jauh berbatu
Tapi jangan kamu kata itu untuk aku
Jangan kata ianya perlu
Kerana kita juga tentang aku
Dan aku juga ada mahu
Biar aku tentu apa untuk aku
Aku kata akan tunggu...selalu
Tapi kamu perlu tahu
Hati aku itu cuma satu
Dan kamu ada seluruhnya
Bila nanti terlalu berat untuk kamu
Campak saja ke mana-mana
Aku tak akan apa-apa
Biar berganda sakit dibuang
Daripada dipulang...tapi tak sama.






Khamis (26/2/2015 @ 0009)
-Inawza Yusof



Day 24: Kita


 Ah ya lagi cerita tentang kamu aku
Kamu aku yang serupa sama
Yang hidup beralas masa lepas
Yang langkah bertapak atas ragu
Yang ada hanya kerana ada
Kamu tak mampu bertanya
Aku tak mampu kata ya
Kamu kata sampai bila?
Aku kata tak apa
Biar masa atur cerita
Kamu ada hati aku
Aku takkan ke mana
Biar penghujungnya tak tentu
Selama nadi mampu berdenyut
Kamu tetap ada aku
Biar saja mereka terus bertanya
Mereka itu bukan kita
Kita itu kamu aku. 




Rabu (11/2/2015 @ 1522)
-Inawza Yusof



Day 23: Separuh

 Buat kita


Mereka dua manusia 
Yang suka duduk berbicara, bercerita
Dulu suatu ketika
Pabila masa itu masih ada
Tidak terpisah jarak juga kerja
Dan bicara mereka itu masih melekat setia
Katanya kepada dia
Kerna kamu tak beri sepenuh jiwa
Hidup separuh segala sentiasa
Makanya sampai bila kamu takkan rasa
Dunia yang benar dan nyata
Kerna separuh itu tak sama 
Seolah kamu wujud hanya untuk semata


Dan kata dia kepadanya semula
Dulu suatu ketika
Pabila masa itu untuk mereka cuma sentiasa
Bukan aku tak berani berdiri memberi seluruh ada
Atau memacak angan serta harap ke langit meninggi atas sana
Tapi...aku tak percaya pada yang diharap
Kelak bila diketip sayapku
Lantas menjunam ke bumi terhempas berderai
Aku juga yang bakal terkial
Mengutip mencantum serpihan itu sendiri
Bersama sakit pedih hancur tak terperi
Jadi supaya aku terjaga
Separuh untuk semua segala sentiasa
Cukup!


Jumaat (9/1/2015 @ 1210)
-Inawza Yusof